Friday, 10, January, 2025
Utama Negeri UUM raih kelas pertama KPI 2024

UUM raih kelas pertama KPI 2024

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatatkan pencapaian gred keseluruhan (GPA) untuk enam teras dalam Pelan Strategik mereka yang meningkat kepada 3.68 pada tahun 2024, berbanding 3.51 pada tahun 2023.

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, mengumumkan pencapaian ini dalam Pembentangan Pencapaian Pelan Strategik Peringkat Universiti 2024 yang diadakan di bilik Senat pada Selasa.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua staf atas usaha mereka dalam mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing.

Dalam pembentangan tersebut, Dr. Mohd Foad juga berkongsi mengenai Penjanaan Dana Untuk Universiti dengan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU), dekan, dan ketua pusat tanggungjawab.

Menurut beliau, peningkatan keberhasilan dalam bidang penyelidikan, inovasi, dan pengkomersialan adalah faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian KPI yang cemerlang pada tahun 2024.

“Komitmen UUM dalam merealisasikan visi sebagai universiti pengurusan terkemuka adalah selaras dengan pendekatan Quintuple Helix yang menyokong inovasi dan pembangunan holistik.

“Antara penyumbang utama kepada peningkatan GPA ini adalah penyelidikan antarabangsa dan kolaborasi industri.

Kejayaan UUM dalam meningkatkan penerbitan hasil penyelidikan serta memperkukuhkan hubungan strategik dengan komuniti global menjadi faktor pendorong utama dalam pencapaian ini,” katanya.

Mohd Foad berkata lagi, selain itu, langkah-langkah progresif dalam bidang keusahawanan turut memainkan peranan penting.

Menurutnya, budaya minda keusahawanan yang dipupuk dalam kalangan mahasiswa bertujuan melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga bersedia menghadapi cabaran dunia nyata.

“Dalam aspek kewangan, UUM menunjukkan peningkatan daya tahan melalui pelaksanaan strategi pemerkasaan dana yang inovatif.

“Pendekatan ini bukan sahaja memastikan kelestarian kewangan tetapi juga memperkukuhkan pengurusan sumber manusia dan infrastruktur digital,” ujarnya.

Mohd Foad menegaskan bahawa tahun ini adalah landasan untuk pencapaian yang lebih gemilang.

“UUM akan terus berinovasi dan berkolaborasi untuk kekal relevan dan unggul. Institusi ini membuktikan bahawa ia berada pada landasan tepat untuk terus memberi impak kepada komuniti dan industri, selaras dengan misi untuk mendidik pemimpin berpewatakan holistik,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com