ALOR SETAR – Global Peace Mission (GPM) Malaysia menyambut baik dan memberikan sokongan penuh kepada inisiatif Kerajaan Malaysia khususnya di bawah kepimpinan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha mempercepatkan pembangunan semula Gaza, Palestin.
Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Syahrir Azfar Saleh berkata sebagai sebuah pertubuhan yang komited terhadap keamanan dan kesejahteraan global, GPM ingin memberikan jaminan untuk terus menyokong proses pemulihan Gaza melalui pelancaran Kempen Pulihkan Gaza yang telah dimulakan pada 16 Januari lalu.
Katanya, kempen ini akan memberi tumpuan kepada beberapa aspek pemulihan yang kritikal, termasuk membaiki dan membina kembali rumah serta tempat kediaman yang telah rosak atau musnah.
“Selain itu, kempen itu juga bertujuan membangunkan semula pendidikan, termasuk membina kembali Sekolah Tahfiz Siraj Al-Munir yang telah dimusnahkan semasa konflik, dan memberikan sokongan segera kepada pelajar di Gaza agar dapat memulakan pendidikan mereka.
“Kami juga akan memberikan sokongan perlindungan kepada anak-anak Gaza yang menjadi yatim melalui Kempen Anak Angkat Gaza GPM,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Syahrir Azfar berkata kempen itu juga bakal membangunkan ekonomi jangka panjang termasuk membina semula ladang ternakan ayam moden serta kilang roti bagi memastikan keperluan makanan rakyat Gaza dapat dipenuhi.
Katanya, pihaknya akan meneruskan bantuan kecemasan lain seperti bantuan khemah, makanan asasi,
bekalan air bersih, kit kebersihan, dan keperluan kehidupan lain yang amat pentingdan mendesak.
“GPM percaya bahawa usaha ini bukan sahaja akan memulihkan Gaza dari segi fizikal, tetapi juga memberikan harapan dan kekuatan kepada rakyat Palestin untuk terus bertahan dan membina masa depan yang lebih baik.
“Kami mengajak semua pihak, termasuk rakyat Malaysia dan organisasi masyarakat sivil, untuk bersama-sama menyokong inisiatif ini.
“Kami berdoa agar usaha ini diberkati dan dilindungi oleh Allah SWT, serta membawa keamanan dan kesejahteraan kepada rakyat Gaza dan Palestin,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan Perdana Menteri mengumumkan bantuan Malaysia dalam pembinaan semula Gaza dan Palestin akan dijalankan menerusi kolaborasi antara rakyat Malaysia dan sektor swasta.
Beliau berkata usaha pembangunan semula Gaza juga melibatkan kerjasama antara kerajaan Jepun dan Malaysia, yang berhasrat menubuhkan serta melancarkan dana melalui program Asia Timur.
Ahad lepas, gencatan senjata melibatkan tiga fasa antara kumpulan Hamas dan Israel mula berkuat kuasa dalam fasa satu meliputi tempoh enam minggu, perjanjian yang hadir hanya selepas lebih 460 hari konflik menyebabkan kemusnahan besar kepada Gaza serta meragut nyawa puluhan ribu rakyat Palestin.