Wednesday, 15, May, 2024
Utama Nasional PM doakan keluarga mangsa nahas pesawat di Elmina cekal dan sabar

PM doakan keluarga mangsa nahas pesawat di Elmina cekal dan sabar

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan keluarga mangsa
yang terlibat nahas pesawat di Elmina, Shah Alam dikurniakan kecekalan serta kesabaran yang tinggi dalam menempuh ujian.

Perdana Menteri berkata beliau yakin ujian itu bukan sembarangan malah besar kesannya kepada sanubari mereka yang terkesan.

“Semalam Setiausaha Politik saya saudara Ahmad Farhan Fauzi telah menziarahi saudara Salleh dan isteri yang merupakan waris kepada Allahyarham Muhammad Hafiz (penunggang P-Hailing) di Taman Sidam Kiri, Kedah yang terlibat dengan nahas pesawat di Elmina.

“Menurut bapanya, allahyarham Muhammad Hafiz sepatutnya pulang untuk bersama meraikan perkahwinan adiknya dan kehilangannya ini pasti meninggalkan bekas yang mendalam kepada keluarga,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Anwar berkata Farhan turut bertemu waris Allahyarham Shaharul Amir, Puan Suhaila di Lumut, Perak.

Katanya, Allahyarham adalah ‘breadwinner’ kepada keluarga dan meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.

“Semoga ruh mangsa nahas kesemuanya diberikan tempat yang terbaik oleh Yang Maha Esa dan diampun segala dosa mereka, Insya-Allah,” katanya.

Pada 17 Ogos lepas, 10 individu terkorban dalam nahas itu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Seri Johari Harun.

Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing ialah penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing, yang menggunakan lebuh raya berkenaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com