Tuesday, 4, February, 2025
Utama Mahkamah & Jenayah Dua lelaki berdepan tuduhan bunuh warga emas, anak angkat

Dua lelaki berdepan tuduhan bunuh warga emas, anak angkat

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Dua penganggur iaitu Mohd Fitri Saiful Rizuan Musa, 29, dan Muhammad Haizan Abdul Rahim, 19, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar atas tuduhan membunuh seorang warga emas dan anak angkatnya di Tongkang Yard pada 21 Januari lalu.

Kedua-dua tertuduh mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nur Syifa Mohd Hamzah, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menyebabkan kematian Ibrahim Mydin, 61, dan Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23, di rumah nombor 398, Lorong Rose, Jalan Kota Tanah sekitar pukul 3.30 pagi pada 21 Januari lalu.

Mohd Fitri Saiful merupakan anak saudara kepada Ibrahim, manakala Muhammad Haizan adalah kenalannya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Nur Huda Diyanah Amir Hamzah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh dan menetapkan 14 Mei depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.

Sebelum ini, media melaporkan kebakaran sebuah rumah di Tongkang Yard yang mengorbankan dua nyawa dan diklasifikasikan sebagai kes bunuh akibat dendam.

Susulan itu, polis menahan lima suspek, termasuk anak saudara salah seorang mangsa, berusia antara 19 hingga 53 tahun dengan tiga daripada mereka positif dadah.

Hasil siasatan di lokasi, pihak forensik bomba dan polis menemui botol berisi petrol dan kesan petrol di lokasi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com