Thursday, 9, May, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Lelaki Thai gagal seludup 14,000 pil dipercayai methamphetamine, yaba

Lelaki Thai gagal seludup 14,000 pil dipercayai methamphetamine, yaba

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI – Seorang lelaki warganegara Thailand ditahan Jabatan Kastam Negeri Kedah di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Feri Langkawi, di sini bersama 14,000 pil dipercayai dadah pada 6 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Kastam Negeri Kedah, Nor Izah Abd Latiff berkata, sepasukan pegawai Kastam Cawangan Penguatkuasaan Narkotik Langkawi, telah menahan seorang suspek berusia 42 tahun itu yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal di lokasi kejadian, pasukan menemui satu bungkusan berwarna biru yang dibalut rapi mengandungi 11,600 biji pil Methamphetamine seberat 1,102 gram.

“Lelaki tersebut kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan Langkawi untuk siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan rapi terhadap beg pinggang berwarna hitam (pouch bag) lelaki terbabit, didapati mengandungi 2,400 biji pil yaba seberat 228 gram. Jumlah keseluruhan tangkapan adalah sebanyak 14,000 biji pil Methamphetamine seberat 1,330 gram dengan nilai dianggarkan sebanyak RM 210,000,” katanya pada Selasa.

Jelasnya, berdasarkan jumlah berat dadah yang diperolehi, rampasan ini telah berjaya membanteras daripada diedarkan kepada 14,000 orang penagih dadah.

“Ujian saringan air kencing telah dilakukan dan suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine. Suspek telah ditahan reman selama 7 hari bermula 7 sehingga 13 Mac untuk siasatan lanjut.

“Modus operandi adalah dengan cubaan mengaburi pihak Kastam dengan melalui kawasan pemeriksaan Kastam tanpa bagasi, hanya membawa bungkusan barangan untuk kegunaan sendiri secara handcarry dengan andaian tidak akan diperiksa oleh pihak Kastam dan akan mendapat pelepasan terus di pintu masuk negara,” ujarnya.

Tambah beliau, kes di siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah berbahaya dan jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan tidak kurang 15 sebatan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com