Sunday, 23, February, 2025
Utama Nasional PM tekad teruskan perjuangan Tunku Abdul Rahman

PM tekad teruskan perjuangan Tunku Abdul Rahman

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Datuk Seri Anwar Ibrahim bertekad meneruskan perjuangan Bapa Kemerdekaan negara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj demi membawa negara yang lebih sempurna serta makmur buat semua.

Perdana Menteri berkata legasi kepimpinan negarawan terulung itu akan terus menjadi panduan dalam usaha membina negara lebih baik untuk generasi mendatang.

Katanya, nilai perpaduan, integriti dan keadilan buat semua yang diwariskan Tunku Abdul Rahman menjadi pegangan beliau dalam mengemudi Kerajaan MADANI.

“Nama Almarhum tidak hanya terukir dalam sejarah sebagai Bapa Kemerdekaan Negara, sebaliknya sebagai simbol kesepakatan dan perpaduan yang menyatukan pelbagai kaum dalam satu identiti nasional yang harmoni.

“Keghairahan Almarhum dalam memastikan negara ini kekal aman dan harmoni harus terus menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia terutama dalam menghadapi cabaran masa kini,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.

Perdana Menteri turut mendoakan roh Almarhum Tunku Abdul Rahman dilimpahkan sebesar-besar ganjaran ihsan dan rahmat Allah SWT.

Tunku Abdul Rahman yang diputerakan di Alor Setar, Kedah pada 8 Feb 1903 menjawat jawatan Perdana Menteri yang pertama bermula 31 Ogos 1957 hingga 22 Sept 1970.

“Sumbangan Almarhum Tunku pastinya akan menjadi inspirasi untuk menjunjung nilai-nilai perpaduan dan keamanan yang telah membentuk kesatuan negara kita.

“Semoga legasi Almarhum Tunku terus menjadi panduan dalam usaha kita membina negara yang lebih baik untuk generasi mendatang,” katanya.
Ends

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com