Wednesday, 1, May, 2024
Utama Nasional Kerajaan jamin laksana dasar ekonomi yang lebih jelas

Kerajaan jamin laksana dasar ekonomi yang lebih jelas

oleh admin

KUALA LUMPUR : Kerajaan memberi jaminan akan memastikan kestabilan politik serta melaksanakan dasar ekonomi yang lebih jelas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia termasuk komitmen untuk melaksanakan semua yang diperlukan bagi memacu pertumbuhan inklusif dan mampan dalam ekonomi terbuka yang menghargai aliran kewangan bebas.

Beliau berkata bagi menggalakkan lagi pertumbuhan domestik, Kabinet akan mempercepatkan pelaksanaan projek kerajaan dan memudahkan kelulusan perniagaan seperti permohonan untuk ekspatriat mahir.

“Di sebalik pelbagai cabaran yang diwarisi oleh kerajaan petunjuk ekonomi awal menunjukkan bahawa dasar fiskal kerajaan dan langkah-langkah daripada Belanjawan 2023 membuahkan hasil.

“Antaranya ialah Malaysia mencapai pertumbuhan kukuh sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 (berbanding unjuran 2023 sebanyak 4 peratus hingga 5 peratus) dan kadar pengangguran yang berkurangan kepada 3.5 peratus (berbanding paras tertinggi 5.2 peratus pada Mei 2020),” katanya pada pelancaran Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini hari ini.

Pelaburan Malaysia yang diluluskan pada suku pertama 2023 mencecah RM71 bilion, meningkat 60 peratus daripada RM45 bilion pada suku pertama 2022.

Ini disokong oleh minat pelaburan yang tinggi daripada, antara lainnya, Amazon Web Services, Tesla EV, Geely/Proton Automotive City di Tanjung Malim dan Ronsheng Petrochemicals di Pengerang.

Malah, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pada 2022 telah naik kepada RM74.6 bilion berbanding RM50.4 bilion pada tahun sebelumnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pengekalan penarafan kredit oleh Fitch dan Moody’s pada awal tahun ini turut mencerminkan keyakinan mereka terhadap kesungguhan kerajaan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

“Fakta ini memberi saya harapan. Kita masih belum keluar daripada kesukaran, terutamanya dengan ketidaktentuan ekonomi global tetapi saya optimis bahawa kita berada di landasan yang tepat untuk pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com