JERLUN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan kerajaan negeri dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) supaya mempercepatkan pelaksanaan program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Muda.
Langkah ini bertujuan meningkatkan produktiviti pesawah dan menjamin keterjaminan bekalan makanan negara.
Menurut Perdana Menteri, usaha ini termasuk mempercepatkan pengambilan tanah bagi menaik taraf sistem pengairan, selain memastikan laporan kemajuan projek dikemukakan secara berkala kepada kementerian.
“Agensi perlu beri laporan segera. Kita kena percepatkan, tak boleh sambil lewa. Jika lambat, ia akan membebankan pesawah,” katanya dalam ucapan semasa melancarkan projek pembangunan infrastruktur bagi menyokong program tersebut di Kampung Pida 4, Ayer Hitam, pada Khamis.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan projek ini tidak seharusnya dipolitikkan, sebaliknya harus dilihat sebagai usaha kerajaan dalam membantu pesawah meningkatkan hasil pertanian mereka.
“Pesawah jangan marah banyak. Ini bukan soal perbezaan politik, tetapi saya mahu yakinkan mereka bahawa kerajaan komited membantu,” tambahnya.
Program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun ini dijangka memberi manfaat besar kepada pesawah di kawasan Muda dengan peningkatan hasil yang lebih stabil serta sistem pengairan yang lebih cekap.
Langkah ini juga selari dengan usaha kerajaan dalam memperkukuh sekuriti makanan negara di tengah cabaran ekonomi dan perubahan iklim yang semakin mencabar.