Friday, 14, March, 2025
Utama Ekonomi Suntikan RM1.1 bilion tidak manfaatkan pemegang saham, pengurusan Sapura Energy – PM

Suntikan RM1.1 bilion tidak manfaatkan pemegang saham, pengurusan Sapura Energy – PM

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa suntikan modal baharu berjumlah RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd (SEB) tidak akan memberi manfaat kepada pemegang saham atau pengurusan lama syarikat tersebut.

Menurut beliau, dalam usaha penstrukturan semula SEB, pemegang saham utama sebelum ini tidak lagi terlibat dalam pengurusan syarikat, manakala satu pasukan pengurusan profesional baharu telah dilantik untuk melaksanakan proses pemulihan syarikat.

“Suntikan modal baharu yang diberikan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.1 bilion kepada SEB adalah khusus untuk pembayaran hutang syarikat kepada vendor, yang melibatkan kira-kira 2,000 vendor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) minyak dan gas tempatan, majoritinya syarikat Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa suntikan modal ini adalah sebahagian daripada langkah penstrukturan semula bagi membantu pekerja tempatan yang telah lama menunggu bayaran serta menyelamatkan ekosistem industri minyak dan gas negara.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menegaskan bahawa proses audit telah dilaksanakan, dan ketekunan wajar tambahan akan dijalankan sebagai prasyarat sebelum memuktamadkan suntikan modal.

“Selanjutnya, dapatan ketekunan wajar ini akan dikongsikan dengan agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk menilai sama ada tindakan perlu diambil ke atas mana-mana pihak,” tambahnya.

Beliau turut menekankan bahawa suntikan dana kerajaan ini bukanlah satu bentuk geran, sebaliknya satu pelaburan strategik bagi memulihkan ekosistem industri minyak dan gas yang dianggap penting untuk ekonomi negara.

Menurutnya, penstrukturan semula SEB telah melalui kelulusan pemiutang serta proses mahkamah, dan kerajaan MADANI komited untuk memastikan ketelusan serta tatakelola yang baik dalam pengurusan kewangan negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com