Sunday, 14, July, 2024
Utama Ekonomi RMK12: Tambahan RM15 bilion daripada pertumbuhan ekonomi, penjimatan dalaman

RMK12: Tambahan RM15 bilion daripada pertumbuhan ekonomi, penjimatan dalaman

oleh admin

KUALA LUMPUR – Tambahan siling perbelanjaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebanyak RM15 bilion bukan peruntukan yang berkonsepkan ‘pinjam dan belanja’ tetapi adalah hasil daripada pertumbuhan negara yang dijangka lebih baik pada 2024-2025, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata kerajaan juga akan melaksanakan penjimatan dalaman negara dengan mengadaptasi tatakelola yang lebih baik.

“Siling RM415 bilion telah dipersetujui setelah mengambil kira jangkaan bahawa Malaysia akan kekal dalam sasaran defisit 3.5 peratus menjelang 2025.

“Ini bermakna, kita yakin boleh berbelanja lebih, dengan peruntukan yang lebih tanpa perlu berhutang lebih,” katanya pada sidang media selepas sesi pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 di Parlimen hari ini.

KSP RMK12 dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau turut mengumumkan jumlah siling perbelanjaan RMK12 akan ditambah sebanyak RM15 bilion, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan kepada RM415 bilion.

Rafizi berkata meskipun RM15 bilion merupakan satu jumlah tambahan, ia adalah hasil penjimatan daripada pelbagai perbelanjaan sedia ada negara yang boleh dialihkan kepada perbelanjaan pembangunan untuk tempoh dua tahun akan datang.

Katanya semasa RMK12 dibangunkan pada 2020-2021, had peruntukan ditetapkan kepada RM400 bilion tanpa mengambil kira banyak perkara yang mengesani rakyat termasuk sifar-sekolah daif, pembaikan jalan yang lebih baik dan sifar-klinik daif.

“Ini bukanlah penekanan (kerajaan) terdahulu tetapi sekarang ini, ia menjadi satu sasaran penting kepada kerajaan (Perpaduan). Sudah tentu, ini memerlukan peruntukan tambahan,” katanya.

Beliau juga berkata KSP RMK12 merupakan satu pembentangan dasar yang menyeluruh yang pertama oleh kerajaan Perpaduan.

Mengenai pendapatan negara, Rafizi berkata kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan dan pelancaran Cukai Keuntungan Modal (CGT) pada 2024.

“Sudah tentu, kerajaan akan mengekalkan strategi itu (CGT) tetapi kami akan terbuka kepada apa sahaja cara yang boleh untuk mencapai kemampanan fiskal melalui asas hasil yang lebih luas, sama ada ia akan menjadi CGT, cukai barangan dan perkhidmatan atau sebarang bentuk cukai langsung atau tidak langsung.

“Saya lebih suka untuk memastikan strategi tersebut terbuka dan kami akan memutuskan berdasarkan kes demi kes dan tahun ke tahun,” katanya.

RMK12 akan dijajarkan semula dengan visi Ekonomi MADANI, yang menyasarkan pemerkasaan dan merancakkan ekonomi negara untuk tempoh 10 tahun.

Sekurang-kurangnya RM90 bilion akan dibelanjakan setahun bagi tahun 2023 hingga 2025.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com