Saturday, 15, March, 2025
Utama Nasional Kedah dipilih destinasi pelancongan pilihan Malaysia sempena MATTA Fair 2025

Kedah dipilih destinasi pelancongan pilihan Malaysia sempena MATTA Fair 2025

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Kedah mencipta sejarah apabila diumumkan sebagai “Malaysia’s Favourite Destination” sempena Pameran Pelancongan Antarabangsa MATTA Fair 2025 yang bakal berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 18 hingga 20 April depan.

Pengiktirafan ini membuktikan keunikan negeri jelapang padi itu sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, warisan budaya, serta tarikan unik yang masih belum diterokai sepenuhnya.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong, menyifatkan Kedah sebagai sebuah negeri yang memiliki potensi luar biasa untuk diketengahkan kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

Dengan jangkaan 210,000 pengunjung ke MATTA Fair 2025, beliau yakin platform ini akan membuka peluang luas bagi negeri Kedah untuk memperkenalkan produk pelancongannya.

“Dari hamparan sawah padi yang menghijau di Kampung Sungai Pau, pemandangan menakjubkan di puncak Gunung Jerai, sehinggalah keindahan pantai dan laut membiru di Langkawi, Kedah menawarkan pelbagai pengalaman unik kepada pelancong,” katanya dalam sidang media pengumuman rasmi penganjuran MATTA Fair 2025.

Dalam sidang media yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd. Salleh Saidin, kerajaan negeri menggariskan dua pendekatan utama bagi merancakkan sektor pelancongan di negeri itu.

Pendekatan pertama adalah usaha untuk terus mengangkat Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia. Langkawi telah lama dikenali sebagai permata pelancongan Malaysia, namun usaha berterusan diperlukan bagi memastikan pulau legenda ini kekal relevan dan menarik minat pelancong global.

Selain itu, pendekatan kedua memberi tumpuan kepada pembangunan pelancongan di tanah besar Kedah.

Selama ini, banyak lokasi menarik di tanah besar kurang mendapat perhatian berbanding Langkawi.

Oleh itu, kerajaan negeri berhasrat memperkenalkan lebih banyak destinasi baharu yang mampu memberikan pengalaman unik kepada pengunjung.

“Kami sedang merangka strategi untuk membangunkan kawasan-kawasan pelancongan di tanah besar Kedah, termasuk memperbaiki infrastruktur dan menambah baik kemudahan bagi menarik lebih ramai pelawat.

“Kesungguhan ini dibuktikan dengan penetapan 170 acara pelancongan sepanjang Tahun Melawat Kedah 2025,” ujar Mohd. Salleh.

Dengan pengiktirafan sebagai “Malaysia’s Favourite Destination”, Kedah kini berada di landasan tepat untuk menjadi antara negeri pelancongan utama di Malaysia.

Peningkatan promosi melalui MATTA Fair 2025 dijangka membawa limpahan manfaat kepada ekonomi negeri, termasuk memberi peluang kepada pengusaha hotel, restoran, dan perkhidmatan pelancongan tempatan untuk berkembang.

Selain itu, pelbagai usaha sedang dirancang bagi memastikan Kedah mampu menarik pelancong dari pelbagai segmen, termasuk pelancongan eko, pelancongan sejarah, serta pelancongan desa yang semakin mendapat sambutan.

Kerajaan negeri juga dijangka bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan pengusaha pelancongan bagi menawarkan pakej istimewa ke Kedah.

Melihat kepada potensi yang ada, penganalisis industri yakin bahawa dengan perancangan strategik, promosi berkesan, serta sokongan penuh daripada kerajaan negeri dan pihak berkepentingan, Kedah akan terus berkembang sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.

Sebagai destinasi pilihan Malaysia di MATTA Fair 2025, adakah anda bersedia untuk meneroka keindahan dan keunikan Kedah?

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com