PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa penjawat awam perlu diberi pendedahan kepada teknologi baharu bagi meningkatkan kecekapan mereka, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap konsultan luar.
Menurut beliau, tuntutan semasa memerlukan penjawat awam untuk berubah dan memanfaatkan potensi yang dimiliki demi pembangunan negara.
“Pada era 80-an hingga 90-an, hampir keseluruhan projek dan keputusan, termasuk dalam aspek fiskal, ekonomi, kewangan, dan pelaksanaan projek, dilakukan oleh penjawat awam dengan penyertaan konsultan yang minimum.
“Namun, kini saya lihat terlalu banyak kebergantungan kepada konsultan asing dan luar. Oleh itu, saya telah meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk melakukan anjakan semula. Jika ada kekurangan, kita latih penjawat awam muda agar mereka memiliki kepakaran, kemahiran, dan keterampilan yang diperlukan,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam mantan KSN dan apresiasi pasukan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) di sini, pada malam Isnin.
Anwar turut menekankan pentingnya menyediakan latihan dan pendidikan baharu kepada penjawat awam, terutama dalam bidang teknologi.
“Ia tidak semestinya formal seperti PhD atau Sarjana, tetapi apa sahaja bentuk latihan atau pendedahan ikhtisas yang dapat meningkatkan kepakaran mereka, terutama dalam teknologi baharu,” katanya.
Beliau percaya bahawa dengan latihan yang sesuai, penjawat awam mampu melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan memberi impak besar kepada pembangunan negara.
Perdana Menteri turut memuji pelaksanaan SSPA , yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada 1 Disember 2024 dan Sistem ini dirangka untuk mengutamakan prestasi perkhidmatan awam dan kebajikan penjawat awam.
“SSPA adalah hasil kerja satu pasukan yang komited untuk membawa perubahan kepada negara. Kita tidak boleh kekal dengan kaedah lama jika mahu mengangkat martabat negara ini,” katanya.
Anwar turut memuji bekas KSN, Tan Sri Mohd Zuki Ali, serta penjawat awam lain atas kesetiaan dan profesionalisme mereka sejak beliau memegang jawatan pada November 2022.
“Mohd Zuki dan penjawat awam lain telah berkhidmat dengan penuh komitmen dan memberikan kerjasama sepenuhnya. Saya selesa dari jam pertama sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Perdana Menteri menyeru penjawat awam untuk menerima kenyataan bahawa kaedah lama tidak lagi relevan dan perlu digantikan dengan pendekatan baharu yang lebih sesuai dengan tuntutan semasa.
“Jika kita mahu mengangkat keupayaan negara ini, kita harus berani melakukan perubahan,” tegasnya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, KSN Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.