Saturday, 19, April, 2025
Utama Nasional Malaysia – China bincang pengecualian visa, mudahkan pertukaran dua hala

Malaysia – China bincang pengecualian visa, mudahkan pertukaran dua hala

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Malaysia dan China sedang mengadakan perbincangan mendalam mengenai pemeteraian rasmi perjanjian pengecualian visa, dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala serta memudahkan pertukaran pelbagai sektor antara kedua-dua negara.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua negara bersetuju bahawa pengecualian visa bakal memberi manfaat besar dalam bidang pendidikan, pelancongan budaya, sukan, serta mempererat persefahaman dan persahabatan antara rakyat, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Bagi memastikan kelancaran pertukaran budaya, Malaysia dan China akan memudahcara Pelan Pelaksanaan Perjanjian Kerjasama Budaya Dua Hala (2024-2029).

Pelan ini akan melibatkan pelbagai aktiviti pertukaran budaya yang bersifat bermakna dan inklusif.

Selain itu, kerjasama dalam industri filem dan animasi turut diberi perhatian, dengan Malaysia bersetuju membantu Pusat Budaya China di Kuala Lumpur memperluaskan promosi pertukaran budaya antara kedua-dua negara.

Malaysia dan China turut menyatakan rasa gembira melihat sambutan mesra rakyat Malaysia terhadap panda yang dipelihara di negara ini, menjadikannya simbol penting persahabatan antara dua negara.

Kedua-dua pihak bersetuju meneruskan kerjasama dalam penyelidikan perlindungan panda, dengan harapan lebih banyak kemajuan dapat dicapai dalam bidang pemeliharaan haiwan tersebut.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com