SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menubuhkan dua jawatankuasa khas bagi menyiasat insiden kemalangan yang meragut nyawa pelajarnya, Manarina Hasya Muhamad Karim, 22 , dalam kemalangan dua buah bas di kampus itu pada pagi Sabtu lalu.
Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan, berkata penubuhan jawatankuasa ini bertujuan memastikan siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta memperkukuh tahap keselamatan perkhidmatan bas kitaran kampus.
“Keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan UUM. Sehubungan itu, kami menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Kemalangan dan Jawatankuasa Integriti Penilaian Perkhidmatan Bas Kitaran Kampus untuk meneliti segala aspek berkaitan insiden ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa Jawatankuasa Siasatan Kemalangan bertanggungjawab menjalankan siasatan mendalam terhadap punca kejadian serta memastikan prosedur operasi standard keselamatan dipatuhi .
“Kami mahu mengetahui secara terperinci bagaimana insiden ini berlaku dan apakah faktor yang menyumbang kepada kemalangan ini, sama ada aspek teknikal, kecuaian atau kekurangan dalam pematuhan prosedur operasi,” katanya.
Selain itu, siasatan turut dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti sebarang unsur pelanggaran undang-undang yang mungkin berlaku dalam insiden tersebut.
Sementara itu, Jawatankuasa Integriti Penilaian Perkhidmatan Bas Kitaran Kampus akan menilai semula tahap kecekapan, pematuhan peraturan, integriti serta keberkesanan pengurusan perkhidmatan pengangkutan di dalam kampus.
“Kami ingin memastikan perkhidmatan bas kampus bukan sahaja efisien, tetapi juga selamat digunakan oleh pelajar dan warga UUM. Jika terdapat kelemahan dalam pengurusan atau sistem keselamatan, ia perlu diperbaiki segera,” ujar Mohd Foad.
Beliau juga berkata, UUM telah mengambil tindakan membantu keluarga mangsa dengan menguruskan penghantaran jenazah ke kampung halaman Allahyarhamah serta memberi bantuan pampasan insurans, bantuan khairat dan sokongan kebajikan .
Selain itu, UUM menyediakan bantuan kaunseling kepada rakan-rakan serta keluarga mangsa yang terkesan dengan tragedi ini.