Wednesday, 8, May, 2024
Utama Negeri 20,000 akaun SADA di Kulim alami gangguan air

20,000 akaun SADA di Kulim alami gangguan air

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Sebanyak 20,000 akaun Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) di daerah Kulim mengalami gangguan berikutan kadar kekeruhan air mentah yang tinggi bermula malam Rabu.

SADA dalam kenyataanya berkata, gangguan bekalan air tidak berjadual bermula pada jam 08.30 malam dan mengakibatkan pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Ular terpaksa dihenti tugas sekali gus.

Menurutnya, LRA Sungai Ular yang berkapasiti 27.27MLD terpaksa di henti tugas apabila pemantauan kadar kekeruhan air mentah yang dilakukan setiap dua jam oleh SADA menunjukkan trend meningkat bermula pada Selasa sehingga mencecah paras 13,000 Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding 1,000 NTU (paras maksimum air mentah boleh dirawat).

“Rentetan daripada insiden tersebut, lebih daripada 50 buah kawasan di Daerah Kulim telah mengalami gangguan bekalan air antaranya di Kolej Vokasional, Kolej MARA, Taman Kempas Indah, Pekan Kulim, Kulim Avenue, Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) dan lain-lain.

“SADA telah memaklumkan dan memohon penjelasan berkenaan insiden tersebut kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) yang merupakan entiti bertanggungjawab mengawal selia hal-hal berkaitan sumber air,” katanya.

Jelas SADA, bagi mengurangkan beban pengguna yang terjejas, tindakan segera melalui penghantaran lori tangki air secara berjadual dan penempatan tangki statik sedang dilaksanakan pada masa ini selaras dengan kehendak peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 54(3), Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) iaitu SADA bertanggungjawab memastikan kelangsungan bekalan air terawat kepada pengguna.

Pada masa sama, SADA turut memantau kadar kekeruhan air mentah dari masa ke masa bagi membolehkan loji kembali beroperasi sepenuhnya.

Bagi tindakan penyelesaian jangka masa panjang, SADA akan membina sebuah LRA berskala besar iaitu LRA Sg. Karangan yang mana peruntukan bagi projek tersebut telah diluluskan melalui pinjaman daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Justeru, sebahagian liputan kawasan yang kini memperoleh bekalan air terawat daripada LRA Sg. Ular akan diambil alih oleh LRA baharu tersebut selepas ia siap dilaksanakan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com