Friday, 9, May, 2025
Utama Nasional Pembangunan semula bukan agenda usir Melayu – PM

Pembangunan semula bukan agenda usir Melayu – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan semula kawasan perumahan lama di ibu negara bukan bertujuan untuk mengusir penduduk Melayu, sebaliknya adalah usaha untuk menjamin kehidupan lebih bermaruah kepada rakyat.

Menurut beliau, dakwaan bahawa projek pembangunan tersebut akan merampas tanah milik orang Melayu adalah tidak berasas kerana status tanah terbabit kekal seperti sedia ada.

“Saya tidak faham politik begini. Apakah tanah itu tanah rizab Melayu? Kekal. Apakah tanah itu tanah Penempatan Pertanian Melayu (MAS)? Ya, kekal. Tapi rumah-rumah flat lama seperti Sri Perlis yang sudah uzur, sesak, tidak ada kemudahan, ini kita nak baiki, mengapa dijadikan bahan politik?

“Kita bukan mahu ambil tanah orang Melayu. Kita mahu ganti rumah satu bilik jadi rumah tiga bilik. Itu pun jadi isu kononnya rampas tanah, agenda Cina. Ini bukan soal kaum, ini soal maruah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Kreatif Kuala Lumpur di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dan Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed.

Anwar turut melahirkan rasa kesal kerana masih terdapat keluarga yang terpaksa tinggal dalam unit flat sempit berusia lebih 40 tahun, dengan hanya satu bilik dan satu tandas.

“Saya tidak bangga sebagai Perdana Menteri kalau tidak dapat buat sesuatu untuk baiki keadaan ini. Kalau kita lambat tiga bulan, itu bermakna tiga bulan lagi mereka terus sengsara.

“Saya kalau boleh, hantar pekerja yang lambat siapkan rumah itu tinggal di situ dulu, baru dia tahu betapa seksanya,” ujarnya.

Tambah beliau, projek pembangunan semula di ibu negara yang mendapat tentangan mesti diteruskan dengan jaminan rumah ganti yang lebih luas, selesa dan berdekatan kawasan asal.

Beliau turut memberi contoh kejayaan projek perumahan rakyat di Pulau Pinang yang diluluskan dalam tempoh kurang 50 hari, membuktikan bahawa kerajaan mampu bertindak cekap sekiranya tiada halangan birokrasi.

“Saya sebut ini bukan sebab saya ada saham dalam projek. Saya tak mahu lagi lihat projek perumahan rakyat ditangguh bertahun-tahun. Kita boleh buat cepat, kita mesti buat cepat,” katanya.

Anwar menegaskan, pembangunan semula bandar perlu berteraskan keperluan rakyat majoriti dan bukan semata-mata memenuhi kepentingan pemaju.

“Nilai kita bukan pada gedung, tapi pada kefahaman tentang apa itu budaya, apa erti teknologi dan apa makna keselesaan sebenar bagi rakyat terbanyak,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com