Sunday, 11, May, 2025
Utama Ekonomi Kad Pekerja MADANI tarik minat sertai Kesatuan Sekerja

Kad Pekerja MADANI tarik minat sertai Kesatuan Sekerja

oleh Ammar Haziq

KUANTAN: Kad Pekerja MADANI yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu dijangka mampu menarik lebih ramai pekerja menyertai kesatuan sekerja.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Pekerja Malaysia (JHEKS), Mohd Asri Abdul Wahab, berkata kad berkenaan menawarkan pelbagai keistimewaan termasuk diskaun sehingga 30 peratus di lebih 100 syarikat terpilih kepada ahli kesatuan sekerja.

“Sehingga tahun lalu, keanggotaan kesatuan pekerja yang direkodkan ialah seramai 1,038,435 orang berbanding 1,008,371 ahli pada 2023.

“Kita berharap pelancaran Kad Pekerja MADANI dapat merangsang pertambahan ahli baharu dalam kalangan pekerja,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2025 Peringkat Zon Timur di sini, hari ini.

Menurutnya, JHEKS sebelum ini menyasarkan peningkatan keanggotaan sebanyak 50,000 ahli baharu setiap tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata peruntukan RM10 juta yang disalurkan kerajaan bagi pelaksanaan PHEKS dijangka turut membantu merancakkan aktiviti kesatuan serta menarik minat lebih ramai pekerja menyertai organisasi tersebut.

“Dana ini akan digunakan untuk melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat terus kepada ahli kesatuan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com