Saturday, 17, May, 2025
Utama Nasional Anwar: Hubungan Malaysia-Rusia bukan isu menang kalah

Anwar: Hubungan Malaysia-Rusia bukan isu menang kalah

oleh Ammar Haziq

KAZAN (Tatarstan): Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa hubungan erat antara Malaysia dan Rusia tidak seharusnya dilihat sebagai satu bentuk persaingan geopolitik atau permainan ‘menang dan kalah’.

Beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan terbuka mempunyai keperluan untuk memperluas jaringan kerjasama ekonomi dengan pelbagai negara demi melindungi dan memajukan kepentingan nasional.

“Kita tidak boleh melihat perkara ini sebagai menang atau kalah. Ia sepatutnya bersifat pelengkap. Mengukuhkan hubungan dengan satu negara tidak bermakna kita melemahkan hubungan dengan negara lain seperti Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media di hari terakhir lawatan rasmi empat hari beliau ke Rusia yang merangkumi lawatan ke ibu negara Moscow dan Kazan, Tatarstan.

Mengulas lanjut, beliau berkata usaha memperkukuhkan hubungan dua hala dengan Rusia tidak bermakna Malaysia mengabaikan atau menjarakkan hubungan dengan negara-negara Barat.

Sebaliknya, pendekatan Malaysia adalah berlandaskan kepentingan ekonomi dan prinsip bebas yang diamalkan dalam dasar luar negara.

“Malah, kita terus mengalu-alukan pelaburan dari AS. Baru minggu lalu, syarikat teknologi gergasi, Advanced Micro Devices (AMD), berada di Malaysia dan mengadakan perbincangan serius untuk mengembangkan operasi mereka. Sudah tentu kita menyambut baik usaha itu,” katanya.

Sepanjang lawatan ke Rusia, Anwar mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin; Perdana Menteri, Mikhail Mishustin; serta beberapa tokoh industri utama negara itu.

Beliau turut menekankan pentingnya Malaysia memperluaskan pasaran dan rangkaian perdagangan dalam usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negara di peringkat global.

“Malaysia sebuah negara perdagangan terbuka. Untuk melindungi kepentingan kita, kita mesti memperluas pasaran dan perkongsian. Ini selaras dengan usaha memajukan ekonomi dan mencipta peluang pelaburan baharu,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai sekatan yang dikenakan ke atas Rusia oleh beberapa negara Barat, Anwar menegaskan pendirian Malaysia yang hanya akan mempertimbangkan sekatan yang diluluskan oleh badan pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Jika sekatan itu diluluskan oleh PBB, maka kita menghormatinya. Tetapi jika ia hanya tindakan unilateral oleh mana-mana negara, sebagai negara merdeka kita berhak mengambil pendirian tersendiri,” katanya.

Berhubung isu pembayaran yang dibangkitkan oleh syarikat Malaysia yang beroperasi di Rusia, Perdana Menteri berkata perkara itu sedang ditangani secara bersama oleh kedua-dua kerajaan bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Terdapat banyak sektor yang tidak terjejas oleh sekatan seperti sektor pendidikan. Kita lihat potensi dalam bidang ini dan sedang bergerak ke hadapan,” katanya.

Lawatan Perdana Menteri kali ini turut memberi tumpuan khusus kepada pengukuhan kerjasama ekonomi termasuk dalam industri halal dan kewangan Islam, yang dilihat sebagai bidang yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan bersama Rusia.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com