Wednesday, 8, May, 2024
Utama Nasional Anwar pastikan tiada amalan rasuah berlaku dalam Kabinetnya

Anwar pastikan tiada amalan rasuah berlaku dalam Kabinetnya

oleh admin

PUTRAJAYA:Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memastikan tiada amalan rasuah berlaku membabitkan barisan menteri Kabinet di bawah kepimpinannya.

Beliau berkata sejarah menunjukkan ramai pemimpin yang berjawatan terpalit dengan amalan rasuah dan ia perlu dihentikan.

“Almarhum Tun Razak mula hutang tetapi hutang untuk buka Felda, jalan luar bandar, sekolah-sekolah baharu. Itu keputusan yang baik saya sokong, tapi hutang kemudian untuk apa? Projek mega, untuk disakau berbillion-billion ringgit.

“Mahu kita pertahankan gunakan Melayu dan Islam, saya bertekad insya-Allah diberi kekuatan selagi saya diamanah sebagai pemimpin saya tidak akan izinkan amalan menteri-menteri, termasuk Menteri Kewangan dan Perdana Menteri mengguna kuasa untuk menyakau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian peluncuran Buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), di Kompleks Islam Putrajaya semalam.

Anwar berkata, sebagai pemimpin negara beliau akan terus menyelamatkan bangsa, agama dan negara dengan mandat dan amanah yang diberikan.

“Yang lalu, lalu boleh bercakap pasal sejarah. Ramai yang terpalit, kalau saya tahu dalam rekod nak cari yang bersih cukup susah.

“Yang bercakap bersih ramai, tetapi yang menyakau terlalu ramai. Saya akan gunakan kuasa, saya percaya kita akan dapat mandat dan amanah untuk meneruskan menyelamatkan bangsa dan agama dan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com