Monday, 19, May, 2025
Utama Nasional PM, TPM zahir ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Raja Perlis

PM, TPM zahir ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Raja Perlis

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, hari ini.

Ucapan itu dizahirkan Perdana Menteri menerusi satu hantaran di Facebook rasmi beliau.

“Mendoakan ke hadrat Allah SWT semoga Duli Tuanku, Raja Perempuan Perlis dan seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta terus diberi keafiatan dan kesejahteraan berpanjangan. Daulat Tuanku,” katanya.

Istiadat Penganugerahan Darjah dan Pingat Kebesaran Negeri Perlis turut diadakan sempena sambutan tersebut, dengan Tuanku Syed Sirajuddin berkenan mengurniakan darjah dan pingat kebesaran kepada 25 penerima.

Jumlah penerima itu dipilih secara simbolik bersempena sambutan Jubli Perak, menandakan 25 tahun pemerintahan baginda sebagai Raja Perlis, yang disambut bermula 17 April lalu hingga 16 April 2026.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah kepada Tuanku Syed Sirajuddin menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau mendoakan agar baginda sentiasa berada di bawah naungan rahmat serta perlindungan Allah SWT, dikurniakan kesihatan yang baik dan dilanjutkan usia dengan sejahtera.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com