Monday, 19, May, 2025
Utama Gaya Hidup Majlis Belia perlu jadi wadah harapan dan inovasi anak muda – Dr Zaliha

Majlis Belia perlu jadi wadah harapan dan inovasi anak muda – Dr Zaliha

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Majlis Belia bukan sekadar platform untuk bermesyuarat, sebaliknya perlu berperanan sebagai wadah harapan dan inovasi anak muda dalam usaha membina bangsa MADANI yang inklusif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata Majlis Belia, khususnya Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP), perlu lebih terbuka dalam mendekati serta merangkul suara dan pandangan golongan belia dari pelbagai latar belakang di luar kerangka organisasi rasmi.

“Pada saya, kita juga perlu mendengar suara belia di luar lingkungan rasmi kerana mereka yang tidak berpersatuan seperti kalangan pemandu e-hailing, peniaga kecil, pekerja kreatif atau pembuat kandungan digital, tentunya mereka juga warga produktif yang punya aspirasi besar.

“Saya khuatir, jika kita menunggu mereka berpersatuan, kita bakal kehilangan golongan ini untuk kesekian kalinya,” katanya dalam ucapan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini semalam.

Dr Zaliha turut memaklumkan bahawa beliau bersetuju untuk mempengerusikan Majlis Perundingan Belia Negara peringkat Wilayah Persekutuan dengan penyertaan Labuan disekalikan dalam Wilayah Persekutuan.
“Sebelum ini, Labuan bergerak berasingan jadi kali ini kita minta supaya digabungkan agar keseluruhan menjadi lebih mantap,” katanya.

Beliau juga menyatakan ketersediaan untuk mendengar, menerima sebarang cadangan, pandangan serta kritikan membina daripada golongan itu dan berharap belia juga sentiasa bersikap lebih matang serta konstruktif.

Bagi menyokong usaha dan pelaksanaan program di peringkat MBWP, Dr Zaliha turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 sebagai dana pentadbiran MBWP bagi 2025.

“Insya-Allah dengan semangat MADANI dan kerjasama erat antara Kerajaan dan belia, saya yakin Wilayah Persekutuan ini boleh menjadi model keterangkuman terbaik dalam negara yang tercinta ini,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com