Sunday, 28, April, 2024
Utama Gaya Hidup PM ucap tahniah kepada Sivamurugan atas syarahan sempena pelantikan Profesor USM

PM ucap tahniah kepada Sivamurugan atas syarahan sempena pelantikan Profesor USM

oleh admin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian atas penyampaian syarahan umum sempena pelantikannya sebagai Profesor Universiti Sains Malaysia (USM).

“Semoga saudara dapat berkhidmat dengan lebih cemerlang serta menyumbang idea dan kepakaran kepada negara,” kata Anwar menerusi ciapan di Twitter.

Penganalisis politik yang sering ditemu bual oleh pengamal media dalam dan luar negara itu menyampaikan Syarahan Umum Sempena Pelantikan Sebagai Profesor USM bertajuk Persetujuan dan Percanggahan Dalam Arena Politik Malaysia di Dewan Budaya, USM pagi tadi.

Syarahan beliau antara lain berkisar kepada perkembangan politik negara, selain memberi tumpuan kepada evolusi pertukaran anggota ‘gabungan’ dan pegangan politik yang berubah mengikut peredaran masa berpandukan tiga perkara yang mendasari politik tanah air iaitu politik adalah seni segala kemungkinan, politik angka dan tiada musuh atau lawan yang kekal, hanya kepentingan yang tidak berubah.

Sivamurugan juga pernah dinobat sebagai Ikon Patriotik, Tokoh 1Malaysia dan pelbagai pengiktirafan lain, selain turut berperanan memegang beberapa portfolio penting termasuk Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Majlis Penasihat Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Naib Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com