Saturday, 24, May, 2025
Utama Nasional Bangun negara bukan sekadar fizikal, tetapi jiwa-PM

Bangun negara bukan sekadar fizikal, tetapi jiwa-PM

oleh Ammar Haziq

JOHOR BAHRU: Pembinaan negara tidak boleh hanya berpaksikan pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu ditunjangi pembinaan insan yang menjunjung nilai kemanusiaan tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konsep Malaysia Madani yang menjadi asas pentadbiran kerajaan menekankan aspek pembinaan manusia yang seimbang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi juga menjunjung nilai murni seperti kemanusiaan, kesederhanaan dan persefahaman antara kaum serta agama.

“Yang kita nak bangunkan itu manusia dan manusia itu ada elemennya… ada cirinya, nilainya, kemampuannya. Anak-anak muda (perlu) beri contoh yang baik bagaimana negara ini boleh disatukan.

“Dengan semangat Malaysia Madani, ini tidak bermakna kita kurangkan semangat kaum, cintakan atau hayati agama kita. (Malah kita juga perlu) muliakan budaya kita, seni kita, sastera kita, bahasa kita… tidak ada salahnya asalkan anak muda harus beri contoh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program MADANI Rakyat 2025 Johor di Toppen Shopping Centre, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selaku menteri peneraju program, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Anwar berkata, kejayaan sesebuah negara bukan diukur semata-mata melalui bangunan pencakar langit atau infrastruktur canggih, sebaliknya bergantung kepada jati diri rakyatnya.

Menurut beliau, masyarakat yang rakus, ganas dan angkuh, tetapi miskin nilai kemanusiaan, tidak membawa sebarang makna kepada kemajuan yang dicanang.

Perdana Menteri turut menekankan kepentingan aktiviti sukan, seni dan budaya sebagai antara elemen penting dalam menyemai semangat perpaduan dan keharmonian rakyat.

“Sebab itu kita galakkan sukan dan olahraga, kita galakkan acara seni, kita galakkan acara budaya yang luas… untuk apa? Untuk ada semangat, persefahaman, kesepakatan, kesetiaan antara satu sama lain,” katanya.

Tambah beliau, nilai-nilai murni ini perlu terus dipupuk dalam kalangan rakyat, khususnya golongan muda agar dapat dijadikan asas membina sebuah negara yang bersatu, harmoni dan maju secara menyeluruh.

“Saya harap pimpinan dan peserta belia yang bersama hari ini, harus ingat prinsip ini,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com