Friday, 3, May, 2024
Utama Nasional Setahun pemerintahan, Anwar ikrar lebih tegas bangunkan ekonomi, banteras rasuah

Setahun pemerintahan, Anwar ikrar lebih tegas bangunkan ekonomi, banteras rasuah

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan akan memulakan usaha dengan lebih tegas untuk membangunkan ekonomi negara dan lebih keras dalam mendepani pelbagai tantangan, salah guna kuasa dan rasuah.

Ikrar itu dinyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, usai setahun pemerintahannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Mengimbau kembali sejarah penubuhan Kerajaan Perpaduan, Anwar berkata, ia bertitik tolak daripada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja.

“Baginda dan Majlis Raja-Raja bertitah memohon sebuah kerajaan yang meliputi kesemua parti politik dibentuk bagi merungkai kebuntuan politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Di sebalik tindakan pihak yang menolak titah Tuanku, kebuntutan itu terlerai selepas Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain sepakat mengenepikan permusuhan politik yang panjang demi menjunjung titah baginda.

“Meskipun dihantui pelbagai cubaan untuk meruntuhkan kesepaduan ini, semua parti terus tekal dengan kesepakatan ini. Alhamdulillah, hari ini kerajaan ini menerima sokongan lebih dua pertiga daripada Ahli-ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Pada Khamis, Anwar turut berkesempatan menghadiri majlis kesyukuran sempena setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, di Putrajaya.

Sepanjang setahun lalu, Anwar berkata, beliau memberi tumpuan untuk mengatasi kelemahan-kelemahan ketara yang diwarisi, khususnya terkait pertumbuhan Malaysia yang tidak berkembang sejak lebih 20 tahun lalu seperti yang dilaporkan dalam Sustainable Economic Development Assessment (SEDA).

Jelasnya, Kerajaan Perpaduan menghalakan usaha menstruktur semula ekonomi negara menerusi peluncuran kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Namun, lebih ketara adalah kelemahan dan kelompongan tata kelola. Saya yakin dan percaya Malaysia punya potensi yang sangat besar untuk diangkat martabatnya jika isu tatakelola diperbetulkan dan rasuah dalam negara dihentikan.

“Saya mohon doa dan sokongan daripada rakyat dan rakan-rakan seperjuangan untuk merealisasikan hasrat kerajaan mengecap pencapaian yang jauh lebih baik, Insya-Allah,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com