PUTRAJAYA: Malaysia dan Vietnam hari ini mengukuhkan hubungan dua hala melalui pemeteraian dan pertukaran tiga dokumen strategik membabitkan sektor tenaga, pendidikan dan integrasi serantau ASEAN.
Pertukaran dokumen itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Vietnam, Pham Minh Chinh, selepas mesyuarat dua hala yang diadakan sempena lawatan rasmi pemimpin Vietnam itu ke Malaysia.
Majlis berlangsung di Kompleks Perdana Putra di sini, melambangkan komitmen kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama dalam bidang berkepentingan bersama.
Dokumen pertama membabitkan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Vietnam Electricity (EVN) berkaitan Grid Kuasa ASEAN serta pembangunan kapasiti strategik.
TNB diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan, manakala EVN diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nguyen Anh Tuan.
Satu lagi dokumen penting yang dipertukarkan ialah Surat Hasrat antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Vietnam National University, Ho Chi Minh City, yang memberi tumpuan kepada kerjasama akademik dan penyelidikan.
UKM diwakili oleh Pemangku Naib Canselor, Prof Dr Abdul Halim Abdul Gapor, manakala Vietnam National University, Ho Chi Minh City diwakili oleh Naib Canselornya, Prof Madya Nguyen Minh Tam.
Dokumen ketiga pula melibatkan Surat Hasrat untuk kerjasama strategik serantau antara Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM dan Vietnam National University, Hanoi.
Pengarah IKMAS, Prof Sufian Jusoh, menandatangani bagi pihak Malaysia manakala Naib Presiden Vietnam National University, Hanoi, Prof Dr Pham Bao Son, mewakili institusi pendidikan tinggi itu.
Vietnam kini merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global dan keempat dalam kalangan negara ASEAN. Jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah RM83.11 bilion.
Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke Vietnam bernilai RM53.86 bilion manakala import dari Vietnam berjumlah RM29.25 bilion.
Sehingga kini, syarikat Malaysia telah melaksanakan lebih 700 projek pelaburan di Vietnam dalam pelbagai sektor, dengan nilai kumulatif melebihi USD13 bilion (sekitar RM55 bilion), sekali gus mencerminkan tahap kepercayaan dan hubungan ekonomi yang kukuh antara kedua-dua negara.