Sunday, 12, May, 2024
Utama Nasional PRN 6 negeri dijangka pada Ogos

PRN 6 negeri dijangka pada Ogos

oleh admin

Nilai: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dijangka akan diadakan pada Ogos depan.

Perdana Menteri berkata PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan itu mesti diadakan selewat-lewatnya pada bulan berkenaan.

“Saya minta kerjasama kawan-kawan semua, bagi sokongan kerana negeri ini akan ada pilihan raya (pada) Ogos. Mesti ada pilihan raya selewat-lewatnya Ogos, mesti pilihan raya,” katanya.

Justeru, beliau menyeru pengundi khususnya di Negeri Sembilan untuk terus memberi mandat kepada PH dan Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir dan menerajui negeri berkenaan selepas PRN kelak.

“Jadi, ini negeri (Negeri Sembilan), semua kaum ada. Ini negeri Melayu, India, Cina. Kalau orang datang bawa kempen seolah-oleh ini negeri India saja punyakah.. Melayu saja punyakah, dia salah.

“Kita kena jaga negeri ini supaya boleh jaga semua kaum. (Setiausaha Agung DAP) Anthony Loke kata ada orang tunggu (mahu ambil alih kerajaan negeri), dia boleh tunggu.

“Tapi kalau mahu selamat ini negeri, mahu jaga ini negeri, mahu semua kaum kita jaga, kamu (rakyat) mesti jaga PH dan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Anwar berkata, Negeri Sembilan perlu kekal di bawah teraju Kerajaan Perpaduan bagi membolehkan lebih banyak manfaat bantuan serta pembangunan diraih penduduk negeri ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com