KUALA LUMPUR: Persiapan bagi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bermula hari ini mendapat pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyifatkannya sebagai hasil kerja rapi dan tersusun oleh semua kementerian serta agensi berkaitan.
Anwar berkata, beliau menghargai usaha luar biasa yang ditunjukkan oleh para pegawai pelbagai kementerian dan pasukan keselamatan dalam memastikan kelancaran acara bertaraf antarabangsa itu.
“Saya bangga dan mudah-mudahan semuanya dalam keadaan baik. Kemudian secara substantif pun, kita dah cuba berbincang semua isu kerana ini (sidang kemuncak) lebih rumit kerana kita ada ASEAN, GCC dan China,” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Pra-Majlis ASEAN, malam tadi.
Mesyuarat itu bertujuan menyelaraskan agenda utama menjelang permulaan rasmi persidangan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Antara yang hadir pada mesyuarat tersebut ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, yang dianjurkan di bawah kepengerusian Malaysia tahun ini, mengangkat tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, dan menghimpunkan ketua-ketua kerajaan dari negara anggota ASEAN bagi membincangkan isu-isu strategik serantau.
Persidangan ini turut merangkumi mesyuarat bersama Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China, menjadikan agenda tahun ini lebih kompleks dan mencabar dari segi penyelarasan.
Myanmar dan Timor Leste tidak mengambil bahagian sebagai negara penuh, dengan Timor Leste hadir sebagai pemerhati.
Antara isu yang menjadi fokus dalam plenari ASEAN hari ini ialah perdagangan dan pelaburan serantau, keselamatan maritim, ekonomi digital dan perubahan iklim — sejajar dengan matlamat meningkatkan kerjasama strategik demi kestabilan dan kemakmuran rantau ini.