Thursday, 29, May, 2025
Utama Sukan Saya tidak tahu sokong siapa malam esok – PM

Saya tidak tahu sokong siapa malam esok – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengakui masih belum membuat keputusan mengenai pasukan yang akan disokong dalam perlawanan antara Manchester United dan ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam Rabu.

Beliau yang berkesempatan bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Manchester United, Omar Berrada, serta pengendali pasukan, Ruben Amorim, turut menghadiri sesi bersama pemain dan pihak pengurusan pasukan ASEAN All-Stars yang diketuai jurulatih Kim Sang Sik.

“Saya ucapkan selamat berentap buat kedua-dua pasukan yang akan beraksi esok. Namun, saya masih berfikir pasukan mana yang harus saya sokong,” katanya.

Perlawanan yang dijangka mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan itu bakal menyaksikan Manchester United beraksi dalam Maybank Challenge Cup, satu usaha bagi merapatkan hubungan kelab gergasi Eropah itu dengan peminat di rantau Asia Tenggara.

Kehadiran Perdana Menteri dalam acara ini mencerminkan sokongan terhadap perkembangan bola sepak serantau selain memberikan suntikan semangat kepada pemain yang bakal beraksi dalam perlawanan berprestij ini.

Sementara itu, Pasukan ASEAN All-Stars mahu mencipta kejutan apabila turun menentang gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United.

Pengendali ASEAN All-Stars, Kim Sang-sik mengakui barisan pemainnya cukup teruja untuk beraksi menentang kelab ternama seperti United.

“Kami amat gembira diberi peluang menyertai perlawanan ini di Malaysia. Selamat datang kepada Manchester United ke Asia Tenggara.

“Saya bersama pemain-pemain terbaik rantau ini akan memberikan aksi terbaik. Kami datang bukan sekadar melengkapkan jadual, tetapi mahu menang dan mencabar United sebaik mungkin,” katanya pada sidang akhbar pra-perlawanan pada Selasa.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com