KUALA LUMPUR: Malaysia kekal berdaya tahan dalam mendepani cabaran global dan terus memainkan peranan utama sebagai peneraju diplomasi serantau menerusi kepengerusian ASEAN 2025, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, meskipun dunia berdepan ketidaktentuan termasuk ketegangan geopolitik dan tarif perdagangan, Malaysia tetap kukuh dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara.
“Malaysia menjadi antara negara yang terawal dan tangkas bertindak melindungi kepentingan industri, perniagaan dan kebajikan rakyat.
“Langkah-langkah strategik telah diambil secara menyeluruh dan terangkum, dengan penglibatan pelbagai pihak demi memastikan kestabilan ekonomi dan daya saing negara terus terpelihara,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi 2025 bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.
Berangkat pada istiadat itu ialah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Perdana Menteri turut menyifatkan Sidang Kemuncak ASEAN kali ini sebagai yang terbaik dalam sejarah ASEAN, apabila Malaysia sebagai Pengerusi berjaya mempertemukan tiga benua gergasi, iaitu negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China dan ASEAN, dalam usaha menjamin kelangsungan tamadun dan menyemarakkan ekonomi rakyat dan negara.
“Sidang ASEAN serta penganjuran LIMA (Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi) membuktikan betapa semangat kerja berpasukan ialah kunci utama dalam usaha kita menterjemahkan hasrat dan cita-cita negara.
“Kecemerlangan Angkatan Tentera Malaysia di Langkawi serta kehebatan PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan seluruh jentera kerajaan serta swasta di Putrajaya dan Kuala Lumpur amat mengagumkan,” kata Perdana Menteri.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan percambahan peluang pekerjaan.
Selain itu, Anwar berkata peningkatan hasil agrotani dan produk tempatan, barangan buatan Malaysia dan ketahanan industri domestik terus menjadi tonggak yang memperkukuh ekonomi negara.
“Dukungan tidak berbelah bahagi rakyat terhadap inisiatif ini memperlihatkan semangat kebangsaan yang tinggi dan kesedaran terhadap peri penting sikap kemandirian dalam cabaran global yang tidak menentu ini,” katanya.