PARIT – Suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Selat, Bota Kanan, awal pagi Ahad apabila lima sekeluarga yang terkorban dalam nahas di Jerantut, Pahang, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.
Deretan van jenazah membawa pasangan suami isteri, Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, dan Mohamad Ikmal Ishak, 26, serta tiga adik mereka, Mohammad Zulkifli, 21, Mohamad Azizul Hakimi, 19, dan Nurul Hazwani, 17, tiba di perkarangan tanah perkuburan pada jam 1.07 pagi.
Suasana sayu mengiringi perjalanan terakhir mereka, dengan lebih 300 orang hadir memberikan penghormatan terakhir.
Jenazah disolatkan terlebih dahulu di Masjid Jamek Bota Kanan, sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Dalam kesedihan yang menyayat hati, ibu mangsa, Zaini Noh, tidak dapat menahan emosi saat menatap wajah anak-anaknya buat kali terakhir.
Keluarga ini dalam perjalanan pulang ke Kampung Paya Gunung untuk menyambut Aidiladha bersama sanak saudara, namun takdir menentukan sebaliknya.
Dalam kejadian sekitar jam 12.40 malam di Kilometer 7 Jalan Jerantut Feri-Maran, kereta Perodua Bezza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah Toyota Alphard, menyebabkan kesemua mangsa maut di lokasi kejadian.
Kerajaan negeri Perak kini sedang meneliti bentuk bantuan buat keluarga mangsa, termasuk sesi kaunseling untuk adik bongsu mangsa, bagi memastikan kesejahteraan emosinya tidak terjejas.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah, memaklumkan bahawa tuntutan insurans RM5,500*l akan disalurkan kepada waris, selain pemantauan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Kami berusaha memastikan keluarga mangsa mendapat sokongan sewajarnya, termasuk sesi kaunseling bagi membantu mereka menghadapi ujian berat ini,” katanya kepada media.