Saturday, 4, May, 2024
Utama Nasional Jemaah Menteri setuju Jumaat Hari Jawi

Jemaah Menteri setuju Jumaat Hari Jawi

oleh Ammar Haziq
Kenyataan Menteri Agama pada hari ini.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Kerajaan bersetuju menjadikan hari Jumaat sebagai hari Jawi dalam usaha memartabatkan tulisan tersebut di Malaysia.

Menurutnya, perkara itu mendapat persetujuan daripada semua Jemaah Menteri selepas ia diusulkan dalam mesyuarat pada Rabu lalu.

“Sebagai usaha mengekalkan dan memperkasakan sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga ke hari ini, saya menguar-uarkan kempen hari Jumaat Hari Jawi bermula hari ini,” katanya.


Tambahnya, bagi menzahirkan tulisan Jawi di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kepala surat rasmi menteri akan menggunakan tulisan Jawi dalam urusan rasmi.

“Penggunaan tulisan Jawi di media sosial juga diperluaskan kepada setiap media sosial rasmi bagi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

kenyataan media yang ditulis di dalam Jawi.

“Saya ingin menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha memelihara warisan negara ini,” katanya.

Menurutnya, tulisan Jawi menjadi perantara sejak dahulu lagi di negara ini di dalam kehidupan masyarakat.

“Perkara ini diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu di bawah Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menyebut tulisan bagi Bahasa Kebangsaan ialah tulisan Rumi dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi bagi Bahasa Kebangsaan,”katanya. – KG




Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com