Sunday, 15, June, 2025
Utama Nasional Alumni MPPK hargai keprihatinan PM, bantuan nahas bas tanda komitmen kerajaan santuni rakyat

Alumni MPPK hargai keprihatinan PM, bantuan nahas bas tanda komitmen kerajaan santuni rakyat

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menzahirkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan terhadap mangsa tragedi nahas bas yang berlaku di Gerik pada Isnin lalu.

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, berkata keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang meluluskan bantuan khas kepada mangsa menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyantuni rakyat yang berdepan detik sukar.

“Persatuan menyambut baik keputusan kerajaan menyalurkan bantuan tambahan sebanyak RM10,000 kepada waris mangsa yang terkorban dan RM5,000 kepada mangsa yang cedera.

“Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan mendalam kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat, lebih-lebih lagi ketika mereka berhadapan dengan ujian berat dan memilukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Alumni MPPK turut menzahirkan penghargaan terhadap langkah kerajaan mengecualikan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam insiden berkenaan.

Katanya, persatuan juga menyokong penuh usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang sedang meneliti bentuk bantuan tambahan yang boleh disalurkan kepada keluarga mangsa yang terkesan.

Menurut Muhammad Amir, tragedi tersebut amat menyentuh hati seluruh rakyat, terutamanya komuniti mahasiswa yang sentiasa aktif dalam pembangunan negara.

“Dalam suasana duka ini, keprihatinan kerajaan menjadi satu sinar harapan kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa. Ia memberi isyarat bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi kesedihan ini,” katanya.

Beliau turut menyeru agar seluruh rakyat terus mendoakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran buat keluarga mangsa agar mampu menghadapi dugaan yang berat ini dengan hati yang reda.

“Alumni MPPK komited untuk terus menyuarakan kebajikan pelajar serta menyokong setiap inisiatif yang bertujuan meringankan beban rakyat, khususnya golongan mahasiswa yang merupakan aset penting masa depan negara,” katanya.

Tragedi di Gerik itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa, malah menjadi peringatan kepada semua pihak tentang pentingnya keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian sewajarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com