MELAKA: Kerajaan negeri disaran memberi tumpuan kepada bidang-bidang strategik yang mampu menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi memastikan pembangunan negara lebih menyeluruh dan mampan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tumpuan khusus perlu diberikan kepada sektor berimpak tinggi seperti industri elektrik dan elektronik (E&E) dalam pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Saya sering tekankan dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri, agar keutamaan yang digariskan oleh agensi pusat, Kementerian Ekonomi serta kerajaan negeri diselaraskan agar benar-benar memenuhi keperluan rakyat.
“Pimpinan negeri dan daerah juga perlu memahami hala tuju kementerian kerana sebahagian permintaan yang dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan sering melangkaui kemampuan fiskal sedia ada, apatah lagi dalam keadaan sumber yang terhad,” katanya menerusi kenyataan selepas menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Melaka, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata mesyuarat berkenaan turut menyaksikan pembentangan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang mengemukakan senarai permohonan (wish list) projek pembangunan untuk negeri itu.
Antara cadangan yang diketengahkan termasuklah pembinaan dan penaiktarafan infrastruktur jalan raya, projek tebatan banjir, pembinaan semula serta baharu sekolah, blok tambahan dan wad di Hospital Jasin, projek perumahan rakyat, serta menaik taraf muzium sebagai daya tarikan pelancongan.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri turut mengingatkan penjawat awam agar meningkatkan kecekapan dan mempercepatkan pelaksanaan projek rakyat, bagi mengelakkan kelewatan yang boleh memberi kesan kepada kewangan kerajaan.
“Saya mahu pelaksanaan dipercepatkan. Jangan sampai kelewatan projek menyebabkan kos meningkat dan membebankan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Mesyuarat di Melaka itu merupakan yang terakhir dalam siri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri sebelum kerajaan Persekutuan memuktamadkan senarai permohonan projek di bawah RMK13 yang akan diteliti untuk pengumuman Bajet 2026, Oktober ini.