KUALA LUMPUR: Kenaikan harga minyak global susulan ketegangan di Asia Barat tidak akan menjejaskan subsidi RON95 yang kini dinikmati oleh kira-kira 85 hingga 90 peratus rakyat Malaysia, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, kerajaan tetap komited mengekalkan subsidi tersebut dan menolak dakwaan pembangkang kononnya harga minyak tempatan akan naik dalam masa terdekat.
“Banyak kempen negatif tentang RON95. Kita sudah berkali-kali tegaskan, tiada isu kenaikan harga yang boleh mempengaruhi subsidi sedia ada. Apa yang digembar-gemburkan oleh pembangkang hanyalah gimik terdesak untuk menggambarkan rakyat menderita,” katanya.
Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Energy Asia 2025 edisi kedua di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Tegasnya lagi, kerajaan lebih memerlukan naratif positif ketika ini bagi menyuntik semangat pemulihan ekonomi, dan bukannya dakyah pesimis yang hanya mencetuskan panik serta keresahan dalam kalangan rakyat.
“Banyak sangat khabar negatif dari mereka (pembangkang). Sekarang bukan masanya untuk menakut-nakutkan rakyat. Kita perlukan khabar yang membina, supaya ekonomi negara boleh bangkit dengan lebih kukuh,” katanya.
Mengulas pelaksanaan subsidi bersasar, Anwar menjelaskan bahawa kerajaan akan memperkenalkannya pada waktu yang sesuai, apabila segala prasarana sokongan telah bersedia.
“Kita mahu pastikan negara ada sumber mencukupi untuk bantu rakyat yang benar-benar memerlukan. Subsidi bersasar ini penting supaya kita boleh perbaiki mutu pendidikan, kukuhkan sistem kesihatan awam, dan naik taraf perkhidmatan untuk semua,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan MADANI tetap berpandukan prinsip keadilan sosial dalam setiap keputusan fiskal, termasuk soal subsidi, agar manfaatnya sampai kepada golongan paling memerlukan tanpa membebankan negara secara tidak lestari.