Wednesday, 25, June, 2025
Utama Ekonomi Kerajaan ambil serius pandangan ramai berhubung SST

Kerajaan ambil serius pandangan ramai berhubung SST

oleh Ammar Haziq

Putrajaya – Kerajaan mengambil serius maklum balas rakyat berkaitan pelaksanaan semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 Julai ini termasuk perluasan skop serta kadar cukai yang dikenakan ke atas barangan tertentu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Menteri Kewangan II akan memberikan penjelasan lanjut berhubung isu tersebut dalam masa terdekat.

“Saya dimaklumkan Menteri Kewangan II akan beri penjelasan lebih lanjut sama ada melalui media atau kenyataan. Kerajaan mengambil pandangan yang serius terhadap maklum balas yang diberikan,” katanya dalam sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini, pada Rabu.


Menurut Fahmi, hasil kutipan SST akan disalurkan untuk manfaat rakyat termasuk dalam pembinaan kemudahan asas seperti sekolah dan hospital.

“Umum sedia maklum apa yang dikutip melalui hasil ini akan disalurkan untuk pembinaan, contohnya sekolah dan hospital. Dalam usaha kerajaan mengurangkan kecurian atau penyelewengan dana dan membanteras rasuah, hasil yang diperoleh menerusi perluasan skop SST akan dapat membantu lebih ramai rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan isu itu tidak dibincangkan secara mendalam dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.


Kerajaan sebelum ini mengumumkan semakan bersasar terhadap SST selaras dengan Belanjawan 2025 yang dibentangkan Oktober lalu, dengan tujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dan memperluas asas percukaian.

Antara langkah utama termasuk mengenakan kadar 5 peratus ke atas barangan pilihan seperti ikan salmon, truffle, kain sutera dan jentera industri, manakala kadar 10 peratus ke atas barangan premium seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik.

Walau bagaimanapun, pengecualian tetap dikekalkan bagi barangan keperluan asas seperti ayam, ikan, beras, susu, ubat-ubatan, buku, serta bahan binaan dan input pertanian.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com