Melaka – Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan maut dipercayai lemas selepas tertindih lengan bapanya yang tidak sedarkan diri akibat serangan jantung dalam kejadian menyayat hati di kediaman mereka di Jalan Perigi Hang, di sini, pagi Khamis.
Ibu mangsa, Azura Abdul Malik, 40, berkata dia menemui suami dan anak bongsunya tidak sedarkan diri di atas katil ketika pulang ke rumah kira-kira jam 9.30 pagi untuk membawa bayi itu ke klinik bagi mendapatkan suntikan imunisasi.
“Saya terkejut apabila melihat anak berada di bawah lengan suami dan kedua-duanya dalam keadaan tidak sedarkan diri. Ketika itu anak masih bernyawa tetapi sangat lemah, lalu saya bergegas ke Jabatan Kecemasan Hospital Melaka,” katanya yang bertugas sebagai pembantu tadbir di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Bagaimanapun, anak bongsunya, Muhammad Nur Daniel Nurul Effendy disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan, manakala suaminya, Nurul Effendy Ibrahim, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Supian Md Dali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pihak hospital pada jam 9.58 pagi.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kebocoran gas atau bahan kimia berbahaya di rumah tersebut. Hasil siasatan lanjut menunjukkan kematian bapa mangsa berpunca daripada serangan jantung, dan bantuan daripada pasukan Hazmat dibatalkan,” katanya.