Wednesday, 8, May, 2024
Utama Nasional Thailand mahu dapatkan kepakaran Malaysia berhubung sijil halal

Thailand mahu dapatkan kepakaran Malaysia berhubung sijil halal

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Thailand berhasrat mendapatkan pengiktirafan sijil halal Malaysia bagi meningkatkan pengeluaran produk makanannya ke peringkat antarabangsa.

Perdana Menterinya, Srettha Thavisin, berkata Malaysia memiliki jenama halal yang boleh membantu Thailand memasarkan produknya ke seluruh dunia.

“Thailand adalah sebuah negara yang mempunyai keselamatan makanan selain dilengkapi dengan produk pertanian yang maju. Jadi, kami merasakan boleh meningkatkan produktiviti dalam sektor terbabit.

“Dengan pensijilan (halal) itu, kita boleh meluaskan pasaran produk halal (Thailand) ke seluruh dunia dan secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi produktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas mengadakan mesyuarat dua hala sempena lawatan kerjanya di sini, semalam.

Dalam pada itu, Srettha berkata, perbincangan bersama Anwar turut menyentuh mengenai isu keselamatan membabitkan kedua-dua negara, terutama di selatan Thailand dan utara Malaysia.

Katanya, kedua-dua pemimpin bersetuju meningkatkan perdagangan supaya kepesatannya dapat dinikmati rakyat di kawasan berkenaan.

“Selama ini kita sudah menikmati sejumlah besar perdagangan antara kedua-dua negara, dan saya berpandangan jumlah itu perlu ditingkatkan lagi.

“Kami akan menetapkan sasaran baharu dan berharap dapat mencapai sasaran ini dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata, Thailand juga sedia memainkan peranan untuk meningkatkan jumlah kehadiran pelancong di kedua-dua negara memandangkan angkanya rendah ketika ini.

“Mengenai sektor pelancongan, pelancong Malaysia antara pelawat utama di Thailand, namun jumlah kehadiran pelancong Thailand ke Malaysia amat rendah.

“Jadi, kita perlu meningkatkan angka terbabit di kedua-dua belah pihak dan sekali lagi, pasukan petugas akan ditubuhkan dalam perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Srettha mengadakan lawatan kerja pertamanya selama dua hari ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand pada 5 September lalu.

Selain mengadakan mesyuarat bersama Anwar, Srettha dijadual menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Anwar selain diberi perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara tengah hari semalam.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com