PUTRAJAYA – Kerajaan tidak bercadang melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) buat masa ini memandangkan pendapatan majoriti rakyat masih berada pada tahap yang rendah, sekali gus berisiko membebankan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun GST terbukti sebagai sistem percukaian yang efisien dan telus, pelaksanaannya hanya wajar dipertimbang apabila rata-rata rakyat mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan.
“Saya masih ingat ketika saya di Kementerian Kewangan dahulu, saya menyokong GST kerana ia satu sistem yang teratur. Tapi pada masa itu pun saya tegaskan, gaji rakyat masih rendah dan ia sukar dilaksanakan tanpa menyusahkan mereka.
“Sekarang ini pun, ramai yang hanya bergaji RM1,700 atau RM2,000. Mungkin saya tidak bijak ketika itu, tapi niat saya jelas—saya tidak mahu rakyat terbeban dengan sistem cukai yang tidak sesuai dengan kemampuan mereka,” katanya dalam ucapan di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan pada Jumaat.
Anwar menekankan pendirian kerajaan untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dalam setiap keputusan dasar, termasuk pelaksanaan sistem cukai.
Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar kerajaan menilai semula pelaksanaan GST sebagai alternatif kepada peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta kenaikan tarif elektrik mulai 1 Julai.
Namun, menurut Anwar, kerajaan masih belum bersedia untuk memperkenalkan semula GST dalam suasana ekonomi semasa, malah tumpuan ketika ini diberikan kepada usaha menstabilkan pendapatan isi rumah serta memperkukuh jaring perlindungan sosial.
Untuk rekod, GST mula diperkenalkan pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebelum dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Dengan latar belakang itu, Anwar menyifatkan sebarang cadangan memperkenalkan semula GST perlu dibuat berdasarkan kemampuan rakyat, bukan semata-mata atas desakan fiskal.