KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, sepakat untuk memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang strategik.
Anwar berkata, hubungan Malaysia-Korea Selatan yang telah dipertingkat ke tahap perkongsian strategik ketika kunjungan beliau ke Seoul pada November tahun lalu akan terus dipacu secara menyeluruh, meliputi aspek keamanan dan keselamatan, pertahanan, ekonomi, pendidikan, pelancongan serta kerjasama serantau dan global.
“Korea Selatan merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan melebihi AS$20 bilion (AS$1 = RM4.29) selama tiga tahun berturut-turut.
“Saya menyatakan komitmen untuk memuktamadkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Korea tahun ini,” katanya menerusi hantaran di platform X, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri menghubungi Lee pada sebelah pagi dan menyampaikan ucapan tahniah atas kemenangan pemimpin itu serta Parti Demokratik dalam Pilihan Raya Presiden Korea Selatan baru-baru ini.
“Saya zahirkan keyakinan terhadap kepimpinan beliau dalam mengemudi Korea Selatan memasuki fasa baharu,” ujarnya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mempelawa Lee untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan yang akan diadakan di Kuala Lumpur.
“Insya-Allah, saya juga akan ke Gyeongju pada November ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak APEC dan berharap dapat menyambut kunjungan beliau ke Malaysia sebelum itu,” katanya.