Saturday, 11, May, 2024
Utama Nasional RUU Keselamatan Siber akan digubal – PM

RUU Keselamatan Siber akan digubal – PM

oleh Ammar Haziq
YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika melakukan Walkabout dan Sarapan Pagi di Pusat Penjaja Madani, Jalan TAR, Kuala Lumpur pada 15 Jun 2023. – AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menggubal Rang Undang-undang Keselamatan Siber dalam usaha mengukuhkan ekosistem keselamatan siber di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak akan kompromi terhadap keselamatan negara termasuk di dalam domain digital dan ekosistem siber.

“Entiti dalam ekosistem siber akan terus mengekalkan kuasa yang membolehkan mereka melaksanakan fungsi masing-masing.

“Pada masa yang sama, fungsi tugas beberapa entiti teras berkaitan keselamatan siber akan diselaraskan bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan memaksimakan kecekapan.

“RUU Keselamatan Siber akan memberi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) punca kuasa undang-undang yang jelas untuk mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan siber serta menambah baik keberkesanan fungsi-fungsi NACSA, MKN sejajar dengan hasrat yang termaktub dalam Arahan MKN No. 26 Pengurusan Keselamatan Siber Negara dan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (Malaysia Cyber Security Strategy, MCSS),” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Beliau pada masa sama berpandangan, Malaysia harus menelusuri cabaran era digital yang menuntut kesiapsiagaan terbaik seluruh jentera kerajaan dalam menangani ancaman keselamatan siber.

Katanya, ia menjadi keutamaan bukan sahaja di dalam negara tetapi turut mencakupi ehwal yang lebih besar di peringkat global kerana alam siber dan komunikasi digital meresapi pelbagai aspek dalam kehidupan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com