Thursday, 3, July, 2025
Utama Nasional Kelantan hargai peruntukan RM6.6 juta baik pulih cerun LRA Bukit Remah

Kelantan hargai peruntukan RM6.6 juta baik pulih cerun LRA Bukit Remah

oleh Ammar Haziq

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kelulusan peruntukan lebih RM6.6 juta bagi kerja-kerja membaik pulih cerun runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, Tanah Merah.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kelulusan itu sangat bermakna buat rakyat negeri ini dalam usaha memastikan isu bekalan air yang terjejas dapat diselesaikan segera.

“Suara rakyat Kelantan akan terus dibawa dengan semangat budaya politik matang dan sejahtera. Ini juga mencerminkan semangat federalisme yang tinggi antara kerajaan negeri dan Persekutuan demi kepentingan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam Isnin.

Menurut beliau, kerajaan negeri bertindak segera mengemukakan permohonan kepada kerajaan Persekutuan selepas kejadian cerun runtuh berlaku susulan hujan berterusan, menyebabkan pergerakan tanah sepanjang 130 meter dan kerosakan pada struktur ‘sheet pile’ di loji tersebut.

Tambahnya, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan RM235,000 bagi pelaksanaan dua kajian penting oleh Jabatan Kerja Raya, iaitu Kajian Siasatan Tanah dan Kajian Ukur Terperinci di kawasan terlibat.

“Inisiatif ini menerima maklum balas positif daripada kerajaan Persekutuan yang akhirnya bersetuju menyalurkan peruntukan seperti dimohon,” katanya.

Terdahulu, pada 28 November tahun lalu, media tempatan melaporkan kejadian cerun runtuh di LRA Bukit Remah akibat hujan lebat berpanjangan, yang menyebabkan mendapan dan pergerakan tanah.

Insiden itu turut mengakibatkan paip air mentah bersaiz 700 milimeter (mm) pecah, sekali gus menjejaskan bekalan air kepada 13,766 akaun pengguna di sekitar kawasan terjejas.

Susulan kejadian tersebut, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam satu kenyataan memaklumkan, LRA Bukit Remah terpaksa dihentikan operasinya serta-merta bagi kerja pembaikan dan langkah pemulihan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com