Friday, 4, July, 2025
Utama Nasional Kerajaan terus perkasa Islam dalam kerangka Perlembagaan – PM

Kerajaan terus perkasa Islam dalam kerangka Perlembagaan – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk terus berusaha memartabatkan kedudukan Islam selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan dan semangat Malaysia MADANI.

Menurut beliau, Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) menjadi platform penting bagi menyelaras dasar dan pelaksanaan hal ehwal Islam secara harmoni antara institusi Raja dan kerajaan.

“Usaha ini penting bagi memperkasa pembangunan insan yang berteraskan ihsan, adab dan ilmu demi menjulang Karamah Insaniah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Anwar, yang juga Timbalan Pengerusi MKI, berkata kerajaan akan terus menggunakan segala kapasiti yang ada untuk memastikan agama Islam terus dipelihara dalam acuan negara yang majmuk dan berperlembagaan.

Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat MKI ke-73 yang dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; ahli-ahli MKI mewakili negeri-negeri; pemimpin tertinggi kerajaan serta pakar-pakar yang dilantik sebagai ahli majlis tersebut.

Mesyuarat MKI merupakan antara forum tertinggi negara dalam merangka dasar berkaitan pentadbiran dan pembangunan Islam, selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com