Saturday, 20, April, 2024
Utama Nasional Lebih 18,000 hadiri Majlis Ilmu Madani bersama PM

Lebih 18,000 hadiri Majlis Ilmu Madani bersama PM

oleh Ammar Haziq
Prof. Dr. Ali Juma’ah menyampaikan tausiah bertajuk Nilai Ta’aruf Dalam Masyarakat Madani. Turut kelihatan Anwar (tengah) dan Al-Allamah Habib Umar Hafidz (kanan).

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kesyukuran kerana dapat bersama lebih 18,000 umat Islam menghadiri Majlis Ilmu Madani di Masjid Putra di sini pada Jumaat. 


Menurutnya, majlis ilmu yang diadakan di masjid perlu dijadikan sebagai pengkalan ilmu, mengangkat nilai rahmah, ihsan, amanah dan akhlak.

  
“Syukur Alhamdulillah malam ini saya dan Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dapat menghadiri Majlis Ilmu Madani di Masjid Putra, Putrajaya mendengar pesanan hikmah dari Al-Imam al-Allamah Prof. Dr. Ali Juma’ah, Mantan Mufti Agung Mesir dan Al-Allamah Habib Umar bin Hafidz, Pengasas dan Pengetua Dar Al Mustafa, Tarim, Yaman. 


“Semoga nilai ilmu yang disemai seperti majlis ini bukan sahaja akan mengangkat harakat umat Islam dan masa yang sama memberi manfaat masyarakat bukan Islam,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.

Umat islam yang hadir pada Majlis Ilmu Madani di Masjid Putra,Putrajaya pada malam Jumaat.


Pada majlis berkenaan, Prof. Dr. Ali Juma’ah telah menyampaikan tausiah bertajuk Nilai Ta’aruf Dalam Masyarakat Madani dan Habib Umar pula menyentuh tema Ilmu Dan Akhlak Dalam Pembinaan Masyarakat Madani.  


Perdana Menteri berkata, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kedua tokoh besar dunia Islam itu yang sudi hadir dalam majlis ini.


“Terima kasih jua kepada seluruh hadirin dari pelbagai latarbelakang yang datang dari seluruh Malaysia dan luar negeri bagi mendengar sendiri  mutiara hikmah yang disampaikan oleh kedua ulama ini,” ujar Anwar lagi. – Kedah Gazette

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com