Sunday, 6, July, 2025
Utama Umum Anwar gesa hubungan Asia Tenggara–Eropah ditakrif semula secara setara

Anwar gesa hubungan Asia Tenggara–Eropah ditakrif semula secara setara

oleh Ammar Haziq

PARIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya hubungan antara Asia Tenggara dan Eropah ditakrif semula sebagai hubungan yang setara dan saling melengkapi, sejajar dengan keperluan dunia hari ini yang mendambakan keseimbangan dan kerjasama strategik.

Berucap dalam syarahan bertajuk “Southeast Asia and Europe: Recalibrating The Terms of Engagement” di Universiti Sorbonne di sini, Anwar menekankan bahawa hubungan masa depan antara kedua-dua rantau perlu dibina atas asas saling hormat, perkongsian nilai dan matlamat bersama.

“Tidak dinafikan, Eropah dan Perancis telah mencapai kejayaan besar dalam bidang budaya, tenaga boleh baharu, biodiversiti, serta falsafah politik dan tadbir urus. Namun, Asia Tenggara juga mempunyai pencapaian yang membanggakan,” katanya.

Beliau berkata pertumbuhan pesat ASEAN mencerminkan kejayaan integrasi ekonomi serantau, yang telah mengukuhkan daya saing dan ketahanan negara-negara anggotanya.

Menurutnya, ASEAN turut mempamerkan pendekatan diplomasi dan kerjasama yang progresif, termasuk dalam menangani ketegangan serantau, mengurus konflik serta membuat keputusan secara kolektif.

“Selain daripada cabaran yang sedang berlaku di Myanmar, rantau ini menunjukkan keupayaan untuk bergerak ke hadapan dalam semangat konsensus,” katanya.

Mengulas mengenai krisis di Ukraine, Anwar menyatakan bahawa pencerobohan Rusia terhadap negara itu bukan sahaja menggugat keselamatan Eropah, tetapi turut mencabar andaian lama berkaitan pencegahan, kebergantungan dan keamanan berterusan.

“Perang yang dahulu dianggap mustahil telah mengingatkan kita bahawa sejarah boleh berulang, bahkan di Eropah. Justeru, projek integrasi Eropah kini berdepan keperluan menilai semula aspek pertahanan, kedaulatan teknologi dan keselamatan tenaga,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata, Asia Tenggara mengalu-alukan keterlibatan Eropah yang semakin meningkat di rantau ini termasuk melalui ASEAN, namun hubungan tersebut perlu berasaskan kesetaraan dan saling menghormati.

“Kerjasama yang lebih kukuh boleh dicapai sekiranya ia dibentuk dengan semangat rakan kongsi yang sejajar, bukan secara bersifat satu hala,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com