JOHOR BAHRU: YAM Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, mencatat sejarah membanggakan apabila menjuarai perlumbaan kedua GT World Challenge Asia, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi hantaran di Facebook, turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah atas pencapaian cemerlang itu yang disifatkan sebagai membanggakan rakyat Johor dan Malaysia.
Ucapan tahniah turut dizahirkan kepada YAM Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim yang berjaya menamatkan perlumbaan pertama semalam di kedudukan ketiga.
“Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan rakyat Johor dan Malaysia, malah memperlihatkan daya saing serta semangat juang tinggi anak muda negara di pentas perlumbaan antarabangsa,” katanya.
Perlumbaan GT World Challenge Asia merupakan salah satu kejohanan berprestij dalam kalendar sukan permotoran serantau, menyaksikan penyertaan pelumba dari pelbagai negara termasuk pasukan ternama dunia.