Saturday, 11, May, 2024
Utama Sukan PM zahir takziah kepada keluarga Azraai

PM zahir takziah kepada keluarga Azraai

oleh Ammar Haziq

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga legenda bola sepak negara, Mohd Azraai Khor Abdullah yang disahkan meninggal dunia selepas diserang strok, hari ini.

Beliau yang menyifatkan Allahyarham sebagai bekas pemain kebangsaan dan jurulatih disegani, berkata sudah pastinya jasa dan sumbangan Allahyarham kepada dunia bola sepak negara akan dikenang terutama buat penyokong Kedah apabila membawa pasukan itu muncul juara double treble pada 2007 dan 2008.

“Moga keluarga Allahyarham sabar dan tabah menempuh dugaan ini.

“Dititipkan doa agar Allah SWT menempatkan Allahyarham dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya dalam catatan terbaharunya menerusi Facebook (FB) miliknya, hari ini.

Allahyarham yang nama asalnya Khor Sek Leng adalah bekas pemain Kedah era 1970-an dan pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1975 hingga 1978.

Selain itu, Allahyarham berjaya membawa Kedah muncul juara ‘double treble’ pada 2007 dan 2008, selain pernah membimbing beberapa pasukan lain seperti Negeri Sembilan dan Perak serta menjadi ketua jurulatih skuad Harimau Muda pada 2010.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com