Sunday, 20, July, 2025
Utama Nasional Kandungan palsu terhadap institusi Diraja, MCMC rakam keterangan individu

Kandungan palsu terhadap institusi Diraja, MCMC rakam keterangan individu

oleh Ammar Haziq

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap kandungan palsu menyentuh Institusi Diraja yang dimuat naik oleh seorang individu menerusi akaun Facebook miliknya.

Kandungan tersebut dipercayai mengandungi dakwaan palsu kononnya Majlis Raja-Raja telah membuat keputusan awal berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara.

Dakwaan tersebut telah mengelirukan orang ramai dan menjejaskan integriti sistem perundangan negara, serta kewibawaan Institusi Diraja.

Bagi membantu siasatan, MCMC telah merakam keterangan individu terbabit pada 2.30 petang tadi, di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

MCMC mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang kandungan palsu yang menyentuh Agama, Kaum dan Institusi Diraja (3R).

MCMC kekal tegas dalam memastikan ruang siber tidak disalahgunakan untuk menyebarkan naratif palsu atau mengganggu proses demokrasi dan tadbir urus negara, sejajar dengan usaha mempertahankan kedaulatan undang-undang serta keharmonian masyarakat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com