PUTRAJAYA: Beberapa pemimpin berpengaruh dari pelbagai benua termasuk Asia, Eropah, Amerika, Afrika dan Amerika Latin dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, Oktober ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjuran sidang kali ini akan menjadi antara acara diplomatik terbesar yang pernah dihoskan Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.
“Setakat ini, antara pemimpin yang telah menyatakan komitmen untuk hadir termasuk dari Itali, Kesatuan Eropah, Kanada dan Amerika Syarikat,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober depan, dan menurut Anwar, beberapa ketua negara luar ASEAN sudah mengesahkan kehadiran mereka, termasuk Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva serta Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, yang kini juga mengetuai Kumpulan G20.
Anwar menegaskan, lawatan beliau ke luar negara bukan dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya atas kapasitinya selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dan juga atas undangan rasmi daripada pemimpin dunia.
“Saya mungkin antara Perdana Menteri yang paling kerap ke luar negara ketika ini. Tapi bukan untuk melancong, sebaliknya atas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN,” katanya.
Beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap keupayaan penjawat awam dan pasukan keselamatan negara dalam menjayakan penganjuran sidang kemuncak itu, berdasarkan rekod prestasi cemerlang semasa Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan ASEAN-China yang berlangsung Mei lalu.
“Lihat saja prestasi penjawat awam, polis, Imigresen dan petugas di lapangan semasa sidang sebelum ini, saya yakin kita mampu memberikan yang terbaik sekali lagi,” katanya.
Tambah beliau, peningkatan kedudukan Malaysia dalam Laporan Daya Saing Dunia oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) daripada tangga ke-34 pada 2024 kepada tangga ke-23 tahun ini turut memberi petunjuk positif terhadap keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan pentadbiran negara.
Anwar berkata, pencapaian itu turut menjadi isyarat bahawa Malaysia berada di landasan tepat menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Untuk rekod, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung Mei lalu turut menghimpunkan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kali kedua serta ASEAN-GCC-China yang pertama kali diadakan.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun 2025, mengetengahkan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ sepanjang penganjuran tahun ini.