Sunday, 3, August, 2025
Utama Nasional Petugas kesihatan lega, syukur

Petugas kesihatan lega, syukur

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Ribuan petugas kesihatan, khususnya doktor lantikan kontrak, menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelantikan lebih 4,000 doktor baharu di fasiliti kesihatan awam hujung tahun ini.

Jurucakap Hartal Doktor Kontrak (HDK), Dr Muhammad Yassin berkata, pengumuman itu disifatkan sebagai luar biasa dan memberi kelegaan besar kepada golongan terbabit yang sekian lama menantikan kejelasan berhubung masa depan kerjaya mereka.

“Pengumuman ini sudah tentu memberi lebih semangat dan kegembiraan kepada ribuan pekerja kesihatan bertaraf kontrak. Kami menyambut baik usaha ini dan amat menghargainya,” katanya seperti dipetik melalui BH Online.

Terdahulu, dalam pengumuman khas yang disiarkan secara langsung di televisyen, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan akan mengisi 4,352 kekosongan jawatan doktor tahun ini, termasuk bagi pegawai perubatan kontrak.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu selari dengan keperluan mendesak terhadap tenaga kerja dalam sektor penjagaan kesihatan awam.

“Pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan membolehkan kita mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, termasuk memperkukuh sistem kesihatan negara,” katanya.

Menurutnya, kedudukan ekonomi Malaysia kini berada di landasan yang kukuh, bukan sahaja mendapat pengiktirafan dalam negara, malah turut dihargai di peringkat antarabangsa.

Langkah itu dijangka dapat mengurangkan beban kerja di fasiliti kesihatan awam serta meningkatkan kualiti perkhidmatan, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com