ALOR SETAR – Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah mengadakan majlis ringkas menaikkan bendera parti sempena ulang tahun parti berkenaan yang ke-74 hari ini.
Upacara itu diadakan di Dewan Tingkat 8, Bangunan Tunku diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Dalam suasana negara masih lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi menangani wabak COVID-19, majlis meriah seperti tahun-tahun lepas tidak dapat dilaksanakan kali ini.
Majlis menaikkan bendera keramat parti itu turut dihadiri Ketua Wanita UMNO Negeri, Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim, Ketua Pemuda UMNO Negeri, Mohd Fadzil Zolkipli dan Ketua Puteri UMMO Negeri, Maizatul Miza Mohd Disa.
Sementara itu Jamil dalam ucapan menerusi klip video yang disiarkan facebook Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata, UMNO bersyukur kembali menjadi kerajaan Persekutuan menerusi Perikatan Nasional (PN).
“Kita mengangkat syukur kerana Allah kurniakan kembali kerajaan yang hilang dua tahun lalu, kembali sebagai komponen kerajaan PN. Mudah-mudahan UMNO akan mengharungi bahtera dengan sebaiknya,” katanya.
Jamil berkata beliau juga menzahirkan kesyukuran atas sambutan UMNO kali 74, ini, yang menyaksikan parti terus kukuh.
“Kali ini kita menyambut dalam suasana yang agak menekan masyarakat terutama soal wabak COVID-19. Pada masa yang sama pula ada bulan Ramadan, mudah-mudahan mudahan kerahmatan Ramadan akan membawa satu pengertian yang baik dan bermakna untuk UMNO yang ke-74,” katanya. – KG